AHLI PERSATUAN

Selasa, 12 April 2011

ANAK MANJA , GURU SENGSARA.

TERDETIK di hati aku untuk menyuarakan pendapat mengenai keganasan pelajar sekolah di negara kita pada masa sekarang. Terlalu banyak yang berlaku hingga ada kala membimbangkan kerana aku juga seorang guru.

Tindakan pelajar menumbuk sehingga mencederakan guru, menyerang rakan sekolah lain seperti samseng, bergaduh di dalam kelas dan banyak lagi perkara yang kita tidak sanggup dengaq kini semakin menjadi-jadi.

Pada zaman aku bersekolah dulu, tidak pernah kedengaran masalah disiplin melampau seperti ini. Kita juga honaq, tetapi masih menghormati dan takut kepada guru. Kita ditampaq, didenda dan pelbagai hukuman diterima tanpa ada bantahan atau perasaan dendam terhadap guru. Jika mengadu kepada ibu bapa, depa pula yang meminta supaya hukuman itu ditambah.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan guru disiplin adalah individu paling ditakuti. Terdengar saja bunyi tapak kaki terus bertempiaran masuk ke dalam kelas. Guru pada zaman lalu diberikan kebenaran untuk menjalankan hukuman tanpa mencederakan murid, bergantung pada budi bicara guru itu sendiri, tidak tertakluk kepada guru disiplin, Penolong Kanan HEM, pengetua atau pun guru besar.

Tetapi kini, hendak dijentik sekalipun tidak dibenarkan. Bagaimana pula jika guru berkenaan diserang? Adakah mereka berhak untuk mempertahankan diri? Ibu bapa pada masa kini lebih banyak membela anak mereka dengan membuta tuli, termasuk suka mengugut guru dengan tindakan undang-undang. Adakah mereka prihatin berkenaan dengan disiplin anak mereka? Akibat terlalu sayangkan anak, guru dijadikan mangsa.

Dalam Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan hanya lebih ditekankan kepada pengurangan tahap buta huruf pelajar. Kenapa tidak diwujudkan sekali NKRA Pendidikan itu mengenai masalah disiplin pelajar? Aku memohon supaya perkara ini diatasi segera kerana mereka ini generasi kita pada masa hadapan. Jika tidak ditangani sekarang, bayangkan apa lagi masalah yang mungkin timbul 10 atau 20 tahun lagi.

Rasanya tidak sanggup aku menempuh masa berkenaan. Aku berharap apa yang suarakan ini diberikan perhatian secara serius demi keselamatan guru dan masa depan anak kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...