AHLI PERSATUAN

Khamis, 23 Disember 2010

REALITI DIA.... SEORANG GURU DI SKCJ...

Salam.... 
Sekali- sekala teringin jugak berkongsi suka duka bergelar cikgu diruangan ini, jika ada anak muridku yang membaca entri ini.....itulah perasaan setiap guru di setiap sekolah...
Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...



Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Rekod Kedatangan  Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "Si polan tu pergi menangkap ikan, bawa 'kobota', tolong ayah jual di pasar atau malas dok lena di rumah saja. Cikgu pun menyusul ke rumah anak murid yang masih berselimut untuk memujuk anak murid datang  ke kelas. Sabarlah cikgu...

Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "Mana kerja rumah?". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya. Cikgu pun bertanya, "Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "Faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Selebihnya terkebil-kebil buat muka tak bersalah. Dalam hati guru , hanya tuhan tahu . Sabarlah cikgu...

Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "Tak tahu", "Lupa", "Tak dan nak buat". Sabarlah cikgu..

Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Esoknya ibu dan bapa murid datang ke sekolah mencari cikgu itu... Cikgu dimaki dan dihina kerana memandai2 mengajar anak mereka... niat sebenar guru tiada siapa yang tahu. Sabarlah cikgu...

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Fail panitia kena kemas kini, Kertas kerja program kecemerlangan untuk anak murid perlu disiapkan segera, buku latihan perlu disemak...Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.
Sabar la cikgu...


Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - AlhamduliLlah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya... Sabarlah cikgu...

Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan "terima kasih cikgu".
Apabila keputusan UPSR diumumkan .....kejayaan saya adalah hasil usaha saya yang bersungguh2 dan menghadiri tuisyen berbayar.... jasa guru di sekolah terkadang dilupakan. Terharu dan sebak jika mendengar apabila ditanya petua kejayaan anak murid, jawapannya"  Syukur ke hadrat Illahi kerana kejayaan saya adalah berkat  tunjuk ajar guru-guru di sekolah dan sokongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Selain itu saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang cemerlang". Cikgu tidak minta jasanya dibalas. Cukup ucapan terima kasih dan mencium tangan tanda berterima kasih  Namun cikgu tetap menghalalkan segala ilmu yang dicurahkan.
Kudrat cikgu sesen pun tidak minta dibalas apa lagi diharap ganjaran. Keikhlasan guru mendidik hanya Allah yang membalasnya.
Tahniah kepada anak-anak muridku yang telah berjaya mendapat 5A dalam UPSR 2010. Biarpun SKCJ hanya sekolah diluar bandar yang serba kekurangan tapi anak muridku berjaya membuktikan kekurangan itu bukan penghalang untuk mencipta sebuah sejarah buat SKCJ.
Semoga anak muridku akan terus berjaya di dunia dan di akhirat. Tiada apa yang paling menggembirakan hati seseorang guru selain melihat anak murid berjaya menjadi manusia yang sempurna.

Semoga anak-anak muridku semua tahu perasaan dan susah payahnya seorang guru dalam  mendidik mereka menjadi insan yang sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...