AHLI PERSATUAN

Sabtu, 12 Februari 2011

INTERLOK!!

Assalamualaikum w.r.t...
Akhirnya selesai juga masalah KOMSAS ini...tapi sejarah telah diubah suai...apa guna dibuat macam tu..
hai tak tau la..lama-lama sejarah akan menjadi sekadar kisah dongeng yang amat sensitif bila di sentuh...
Hal ini juga mendapat komen mantan PM kita dlm akhbaq... sama -sama kita renungkan bila selesai baca artikel ini..





Siapa yang menyangka bahawa Interlok, salah satu hasil sastera hebat Malaysia, boleh dicemuh, dibakar dan wajah foto pengarangnya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain hangus. Orang itu pula sekelompok masyarakat yang tidak memahami erti sebuah karya sastera, tidak membaca teks berkenaan dan mungkin kerana ada agenda politik tertentu, maka mereka tergamak bertindak liar sedemikian.

Memanglah, kerja membakar sesebuah karya, baik karya apa pun, sama ada teks sastera, agama, falsafah atau pemikiran lain adalah kerja orang-orang yang biadab, tiada adat dan di luar tamadun kemanusiaan. Akibat kandungan dan semangatnya tidak difahami secara keseluruhan, maka orang yang buta budaya dan hakikat sejarah begitu tidak akan malu untuk bertindak lebih jauh lagi, hatta kepada bidang-bidang lain pula.

Bagi saya, kerajaan ‘jangan ketar dagu’. Maknanya kerajaan jangan bimbang dalam debar dan ragu, terpengaruh dengan sikap, tabiat dan pandangan serong segelintir warga Malaysia seperti itu yang kebetulannya keturunan India. Saya mempunyai ramai penulis, sasterawan dan sarjana pengajian India, tetapi sejauh bergaul dengan mereka sekian lama, tidak pernah timbul sebarang isu mengenai Interlok.

Interlok sudah berusia lebih 40 tahun dan sejak diterbitkan tidak pernah timbul bantahan. Benar, kalau dikatakan Interlok adalah sebuah karya sastera. Juga benar, jika kita mahu melihat perkembangan sejarah Malaysia sejak ratusan tahun yang lalu berdasarkan fakta sejarah dan kebudayaan.

Interlok telah ditulis indah melalui proses kreatif seorang sasterawan negara yang bijaksana. Jangan sekali-kali kita, bangsa Malaysia, mudah terikut-ikut dengan emosi yang kini sedang menyerang kelemahan pemikiran rasional. Ada puak-puak tertentu sekarang merujuk segala sesuatu atas dasar perkauman semata-mata.

Peristiwa ‘tunjuk perangai’ sekumpulan 100 penduduk kaum India di hadapan Dewan Sentosa (MPK) Kelang pada 8 Januari 2011 telah mencoretkan tanda hitam dalam persuratan bangsa Malaysia. Kerajaan perlu menegakkan ‘berani kerana benar’ seperti keberanian penulis Interlok itu sendiri. Kerajaan kena bertegas. Apakah perlu ditakutkan sebab takut itu tandanya diri terikut-ikut kepada pemikiran sempit tanpa bersandarkan ilmu dan fakta.

Saya sendiri mengenali Abdullah Hussain sejak lama. Malahan kejujuran intelektual beliau dan beberapa orang sasterawan dan penulis tanah air yang lain jangan dipandang mudah atau diperlekehkan akibat ikutan kepada kelompok orang yang tidak berilmu.

Abdullah Hussain mempunyai keikhlasan yang tinggi melalui hasil-hasil karya beliau, tidak sepadan dengan gelaran sasterawan bodoh. Satu persatu penghinaan sedang menimpa peradaban bangsa kita sekarang ini. Malahan jika dikaji novel Imam, rujukan lengkap telah Abdullah lakukan, menterjemahkan pengalaman, kesimpulan dan pemikiran tentang konflik dan dilema dalam kehidupan masyarakat Melayu atau umat Islam serantau.

Dunia telah tahu bahawa agama dan tradisi budaya India itu amat rigid sekali. Ini adalah fakta. Jika di India sering terjadi konflik dalaman agama dan budaya mereka, maka kesan psikologi dari sistem kasta India itu sentiasa timbul. Sistem kasta dengan pembahagian strata sosial berasaskan pembahagian seawal kelahiran seseorang manusia dengan Brahmin, Ksyatriya, Vasya dan Sudra tidak dapat terelak lagi.

Malahan istilah parya itu wujud disebabkan ada golongan yang tidak diterima oleh mana-mana golongan tadi. Mereka tergolong sebagai untouchable group, tidak dapat dipegang, disentuh atau masuk ke dalam kategori. Di bawah sistem begitu mobiliti sosial tidak terjadi dengan bebas, maknanya seorang parya itu akan tetap kekal parya. Mereka tidak akan dibenarkan mendaki puncak kehidupannya, hatta cemerlang dalam pendidikan sekalipun. Kastanya akan kekal.

Senario di atas itulah yang cuba dibezakan dan mahu dibandingkan antara negara Malaysia, asalnya Tanah Melayu, berbanding dengan tanah air asal orang keturunan India. Abdullah Hussain tidak sekali-kali menghina, apalagi memandang rendah kepada kaum lain. Kerja tidak matang atau tunjuk perangai itu adalah kerja orang terburu-buru dan kerja budak-budak.

Cubalah fahami bahawa sikap orang Melayu yang sentiasa terbuka – ada prinsip penerimaan, bukan sekadar bertolak ansur dan akomodatif – sudah dibuktikan sejarah sejak ribuan tahun. Jadi sungguh melampau perbuatan melabel dan mengesyorkan karya besar seorang sasterawan negara dibuang mudah akibat tidak celik budaya dan buta sejarah. Rakyat Malaysia sedang menyaksikan agenda politik bagi meraih sokongan kaum India dalam banyak perkara.

Kisah Maniam, watak seorang India dari India Selatan itu adalah pengalaman silam yang boleh dikatakan dilalui setiap orang India. Mereka menjadi perantau dan ternyata apabila memilih Malaysia sebagai tempat mencari rezeki dan tanah baru kediaman, perbezaannya jauh sekali. Di Malaysia, sistem masyarakat induknya tidak ada kasta dan kasta tidak berfungsi di kalangan keturunan mereka sendiri.

Di Malaysia sesiapa pun bebas cari makan, asalkan berikrar setia kepada satu bangsa dan satu negara. Mereka bebas ke mana-mana, hatta bercampur gaul dengan sesiapa jua, termasuk mereka keturunan yang sama dan berada di kasta tertinggi sistem keagamaan Hindu itu. Itulah sistem sosial Malaysia yang mesti difahami semua. Malaysia juga tidak mengamalkan politik kasta.

Interlok sama sekali tidak menghina kaum India. Jadi, kerajaan dan Kementerian Pelajaran mesti menerima hakikatnya. Belajarlah untuk berpegang kepada ‘takut kerana salah, berani kerana benar’, dan jangan ‘ketar dagu’ untuk mempertahankan sesuatu kebenaran demi ilmu dan peradaban.

Apa yang dikatakan isu sensitif itu pun tidak sensitif sekiranya dibaca dalam konteksnya. Jika Interlok ditarik balik, maka seolah-olah kerajaan menarik keputusan yang sudah ditimbang terima selepas kajian dan usulan asal perakuan pasukan kajian teks sastera yang memperakukannya. Sikap demikian akan hanya menggambarkan kelemahan pendirian.

Kita mahu mendidik anak bangsa agar tahu sejarah, sahsiah diri dan menghayati sastera, maka selama itulah kita tidak akan cuba memahami persoalan rentas budaya. Babak lama pemisahan akan kekal dan terus menerus akan melebarkan jarak kefahaman tanpa memberikan fakta yang tepat. Pemisahan pula akan hanya merenggangkan lagi hubungan kaum. Prinsip penerimaan adalah salah satu prinsip gagasan 1Malaysia selain menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial.

Pada saya kerajaan tidak perlu menubuhkan pasukan pengkaji untuk menilai semula teks Interlok ini atau dibuat perubahan kandungannya. Pandangan badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan bahasa dan sastera, ilmuan persuratan dan tokoh-tokoh sarjana sehingga ini sudah cukup untuk Kementerian bekalkan masukan pandangan kepada Jemaah Menteri.

Kerajaan tidak perlu membuang masa, tenaga dan kos disebabkan segelintir pandangan yang bersifat emosional kerana semuanya bukan kritikan yang membina. Rupa-rupanya di Malaysia sekarang, apa sahaja atau segala sesuatu itu sangat nyata mahu dipolitikkan, walhal politik tidak segala-galanya.

Semua orang hendaklah kembali kepada ilmu dan tradisi keilmuan, bukan bertindak menyalakan api perkauman. Apa sahaja kenyataan perlu diperjelaskan dan sangat tidak bijak seandainya Interlok yang mendukungi tema perpaduan dan kesatuan bangsa Malaysia itu dinyahkan disebabkan kita dipengaruhi kejahilan ilmu yang dibawa orang yang tidak bertanggung jawab.

DATUK A AZIZ DERAMAN

Bekas Ketua Pengarah

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Kota Bharu, Kelantan
‘Dusta jika anggap Interlok tidak baik’
Posted: January 12, 2011 by lamanbahasa in UMUM
0

Utusan Malaysia (12 Januari 2010)

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Pihak yang mendakwa kandungan dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain sebagai berniat tidak baik, sebenarnya berdusta kepada orang ramai.

Penulis tersohor tanah air, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, novel itu secara keseluruhannya adalah wacana pemikiran besar mengenai pembinaan satu bangsa yang disampaikan oleh pengarangnya secara kreatif dan halus.

Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menambah, dalam menilai sesebuah naskah karya, apa yang perlu diperhatikan oleh khalayak pembaca adalah pemikiran induk di dalamnya kerana itulah hasrat sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarang.

Hal-hal lain kata beliau, seperti dialog atau imaginasi watak-watak di dalamnya hanyalah berfungsi sebagai pelengkap kepada wacana pemikiran induk tersebut.

”Bagi saya pemikiran induk di dalam karya Interlok adalah sangat luar biasa dan tiada siapa yang boleh menafikan hakikat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik buku berjudul Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam Bahasa Melayu tingkatan lima bermula tahun ini.

Mengulas tindakan membakar novel Interlok itu, Swee Tin berkata, perbuatan tersebut langsung tidak mencerminkan kesantunan cara hidup rakyat di negara ini dan tidak wajar dibudayakan.

Sebaliknya kata beliau, pihak yang bertelagah pendapat seharusnya menyelesaikannya dengan lebih ilmiah termasuk di meja rundingan dan perlu objektif dalam menerima pandangan bertentangan mengenainya.

”Pemilihan novel Interlok adalah hasrat murni kerajaan dalam mendedahkan kesusasteraan kepada pelajar untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai jati diri yang kukuh,” kata beliau.

Begitupun di sebalik kemelut mengenai novel itu, Swee Tin lebih berminat melihat dari sudut positif yang mana katanya, masyarakat mula memberi perhatian dan menaruh minat tinggi terhadap karya sastera negara.

Perkara itu tambah beliau, adalah sesuatu yang jarang berlaku apatah lagi untuk sesebuah karya tersebut diperkatakan oleh masyarakat daripada pelbagai kaum.

Sementara itu, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein berkata, kemelut mengenai isu novel Interlok sudah terkeluar daripada perbincangan asal apabila ia lebih menjurus kepada kepentingan politik.

”Novel ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian hari ini kerana ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Ditanya pandangan beliau sekiranya bahagian di dalam buku itu yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman digugurkan, Ismail berkata, perkara tersebut menyentuh prinsip yang sensitif dalam berkarya.

Begitupun katanya, dalam menimbangkan perkara itu, perkataan-perkataan yang membawa maksud penghinaan dalam bahasa lain juga perlu diberi perhatian yang serupa.

Bagaimanapun, novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan menyentuh mengenai sensitiviti perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...